Penglipurlara

04 February 2010

Cita-cita kita

Masa masih foetus sebesar buah kurma, ibu-bapa kita cita-citakan kita agar lahir jadi anak yang soleh dan solehah.

Bila dah lahir, ibu-bapa impikan kita jadi anak yang bijak segala. Ajar kita bercakap, ajar A,B,C, ajar duduk, ajar makan, nyanyi-nyanyi untuk kita, dan ajar la segala yang boleh diajar pada bayi baru lahir.

Bila umur dah mula nak jadi celik ilmu, ibu-bapa mula nak realisasikan segala angan-angan ketika kita dalam perut. Ajar kita membaca, suruh hafal sifir, ajar Iqra', ajar mengira, ajar solat, ajar puasa, dan segala.

Tapi, bila kita dah mula celik, buntang segala, kita pula sibuk nak main gasing la, PSP la, batu seremban la, masak-masak la, X-Box la, bola sepak la, kejar-kejar la.

Tapi kita main waktu senggang sahaja kan. Waktu belajar, kita belajar. Walaupun ibu terpaksa berdiri tercegat di sebelah sambil tangan kiri mencekak pinggang dan tangan kanan memegang rotan. Ya, waktu belajar kita belajar. Walaupun kadang-kadang bila ibu tak nampak, kita menyelinap keluar pergi main PS dengan Danial, atau kita lari ke rumah Shazana nak main The Sims. Tapi bila instinct semacam rasa ibu dah mula cari rotan, kita pun mula susun langkah nak cari jalan balik rumah dan sambung belajar.

Bila dah sampai umur akil baligh, ibu-bapa mula tekankan lagi kita untuk menuju ke pintu menara gading. Kita juga mula tarik gear empat untuk mencapai impian bersama ibu-bapa pergi ke menara gading. Tapi kadang-kadang gear terpaksa di-rendahkan, sebab dalam perjalanan tu jalanraya mesti nak ada juga sedikit lubang sana-sini. Kadang-kadang speed nak kena turun sebab ada lembu-kambing-gajah melintas. Dan ada juga masa perjalanan harus dihentikan sementara sebab nak beli goreng pisang-kepok lekor-air jagung. Tapi macam mana pun, pintu menara gading tetap kita sampai dan dijemput masuk.

Dah sampai menara gading, gear sudah mula steady. Tidak turun dan tidak juga naik. Sebab.... sebab 45% dari cita-cita ibu-bapa sudah tercapai, 80% dari cita-cita kita dari kecil sudah dalam genggaman. 15% yang tinggal cuma untuk kita siapkan asainmen dan hantar, belajar sekadar mampu untuk kuiz, dan memerah otak dan membakar lilin malam hanya setahun dua kali untuk lulus peperiksaan akhir dengan jayanya.

Berada dalam environmen menara gading kita sudah mula kenal cinta (lah kononnya). Cinta buat cita-cita kita berubah. Cinta buat perjalanan hidup bertukar arah. (Bukan songsang). Asalnya mungkin menuju ke Johor Bahru, tapi lepas kenal cinta, destinasi sudah bertukar ke Arau. Tapi cinta juga boleh jadi mangkin untuk kita jadi lebih teruja menuju ke destinasi yang sudah dirancang bersama ibu-bapa. Cinta buat kita kuat berusaha menuju cita-cita.

Apabila tirai kehidupan menara gading diturunkan, pandangan kita semakin jauh. Ibu-bapa makin teruja melihat impian mereka semakin tercapai. Buah hati pengarang jantung berikan dorongan dan sokongan padu.

Akhirnya apabila cita-cita sejak kecil sudah kita capai dan genggam, kita pun mula hela nafas lega. Kita sudah 98% tenang. Kita akhirnya berada di kerusi idaman sejak pandai pilih cita-cita.

Tapi...

Adakah itu sebenarnya cita-cita kita dalam kehidupan kat bumi Allah ni? Adakah sampai kerusi itu sahaja? Adakah kita sekarang mengidam cita-cita untuk capai wang besar atau segala besar pula? Tapi, dengan dapatnya segala yang besar, tercapaikah cita-cita dunia kita? Lupa nak tanya, apa yang ibu-bapa kita cita-citakan untuk kita dulu-dulu dah tercapai ke? Cita-cita soleh-solehah macam mana?

Nota kaki: Cita-cita aku yang latest adalah untuk menjadi seorang surirumah berjaya.

1 comment:

rizki abu said...

cita2 ku adalah untuk mengapai cita2 ku sendiri